Tuesday, April 3, 2012

Ketam dan Adikku

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..

Teringat kembali kisah adik bongsu ita yang sekarang dah jadi seorang remaja.. Percaya atau tidak, perkataan pertama yang adik ita sebut ialah 'KETAM'.. Adik ita dulu agak lambat bercakap..mak ita dah cuba macam2 petua, baik dari ustaz dan kawan2 mak sendiri..tapi Allah masih belum izinkan adik ita bercakap..

Pada masa tu mak ita mengajar di SK Kongkong Laut dan rapat dengan ramai orang-orang kampung Kongkong Laut ni terutamanya nelayan. Hampir setiap minggu mak ita jumpa seorang nelayan ni (ita tak ingat nama dia), dia memang selalu jual ikan pada mak ita dengan harga yang jauh lebih murah daripada yang orang lain beli.. Satu hari bila mak bawa balik ketam, adik ita jadi jakun.. mak ita toleh sekejap je..terus dengar suara adik ita menjerit.. Rupa2nya ketam tu dah sepit tangan dia.. Apalagi, darah keluar macam air paip.. 

Semenjak insiden ketam tu, Allah izinkan adik ita mula bercakap sikit2... Pasti ada sebabnya Allah jadikan dia lambat bercakap..cuma kita yang tak tahu kenapa..

Ketam masak berlada ni memang favourite keluarga ita.. Masak lain pun sedap juga.. cuma keluarga ita kurang berkenan sikit. Jom kita jenguk resepi..


Ketam Masak Berlada

3 ekor Ketam, dibelah dua dan dibersihkan
1 biji Telur
2 batang Serai, diketuk
1 jari Halia, diketuk 

.::Dikisar::.
10 biji Lada Kering, dibuang biji dan direbus
1 biji Bawang Besar
5 ulas Bawang Putih

Garam dan Gula secukupnya

-Tumis bahan2 kisar dan serai serta halia sehingga masak, masukkan gula dan garam secukupnya. Masukkan air jika mahu berkuah.
- Masukkan ketam, kacau rata dan tutup dengan penutup kuali. Kacau sekali sekala supaya ketam masak dengan sekata. 
- Jika gunakan api sederhana, lebih kurang 6-8 minit ketam akan masak. Bila dah masak, masukkan telur dan kacau sehingga sebati. 
- Angkat dan hidangkan. Selamat Mencuba

Petola

Setiap hujung minggu suami ita akan ke pasar beli barang2 dapur.. Jadi ita pun pesan minta tolong en. hubby belikan petola.. Nak masak petola sangat mudah, kita boleh makan..anak2 lagi lah suka..tak rasa pahit sayur sangat. 

Bukan mudah untuk seorang surirumah mencipta menu untuk santapan sekeluarga.. Orang yang jarang memasak senang lah cakap.."Alah..masak je yang mudah2..", tapi hakikat untuk menggembirakan keluarga dengan makanan yang sedap dan menyihatkan sebenarnya agak sukar, lagi2 bulan Ramadhan.. Mujur jugalah ita mempunyai seorang suami yang tak berapa cerewet.. Mungkin rasa kasihan timbul melihat isterinya bekerja hampir 20 jam sehari membuatkan en hubby sangat sporting bila tiba bab makanan..Alhamdulillah..

Jadi untuk makan tengahari ita cuma masak sayur petola dan ikan bakar..tapi ita terlupa nak snap gambar ikan bakar.. Ada ke orang yang tak pernah masak petola masak air ni.. Tak mungkin rasanya..walau apa pun, ni petola masak air versi ita.. Selamat Menjamu mata..


Petola Masak Air

1 biji Petola, medium
2 biji Tauhu, dipotong 9
1 biji Kentang, medium, dibelah 2 dan potong kecil2
1 gulung Soh Hoon, direndam
1/2 keping Pucuk Tahu kering, direndam
1 biji Telur

.::Ditumbuk kasar::.
1 biji Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1/4 cawan Ikan Bilis 

Air secukupnya
Garam secukupnya
1/4 sk gula
 
- Panaskan dua sudu minyak masak dan tumis bahan2 tumbuk sehingga lembut, kemudian masukkan air.
- Masukkan kentang. Tunggu sehingga kuah mendidih, masukkan telur dahulu, tunggu sehingga putih telur dah masak sedikit, baru masukkan petola, soh hoon dan pucuk tauhu. Kacau sekali sekala sehingga petola 3/4 masak, kemudian tutup api (Petola akan lembut kerana kuah masih panas).
- Angkat dan hidang. 

Masakan ini sangat mudah disediakan dan sesuai untuk kanak2 yang baru mula belajar nak makan sayur.

Sunday, April 1, 2012

Sambal Tomato


Sambal ni ita buat sebab malas nak masak asing untuk anak2.. Jadi ita masak lauk biasa dan buat sambal sikit, jadi semua dapat makan.. Dalam sebulan, ita buat sambal ni 3 kali je..ita bukan peminat sambal sebelum ni, tapi dek kerana suami ita yang memang sangat suka makan makanan yang pedas, ita pun jadi suka makan pedas akhirnya.. Bila dah hidup berkeluarga, kita mesti akan cuba benda baru.. Kita akan rugi kalau tak belajar menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan..

Oklah, berbalik kepada sambal tadi.. resepinya ada di bawah ni.. Selamat Mencuba!

Sambal Tomato dan Ikan Bilis

1/8 cawan Ikan Bilis, dibasuh dan ketepikan
1/2 biji Tomato, dibuang isinya, ketepikan
4 biji Cili Padi
1 biji Bawang Besar, dibelah 2 dan dipotong melintang
3 ulas Bawang Putih, dibelah 2
Garam, Gula, Serbuk Perasa secukup rasa

- Kukus/Goreng cili padi, bawang besar dan putih sehingga kekuningan. Angkat dan toskan minyak @ letak atas tisu dapur
- Masukkan ke dalam lesung bersama garam, gula dan sedikit serbuk perasa dan tumbuk kasar. 
- Masukkan Ikan bilis, tumbuk lagi sehingga ikan bilis 3/4 hancur. Kemudian masukkan tomato dan lenyek guna batu lesung. Rasa dan hidang.

Bubur Nasi Ala-ala Sentosa

Teringat masa mengandungkan anak kedua dulu.. 3 bulan pertama tak boleh nak masuk dapur langsung..nak tak nak kena la cik abang ita belikan bubur kat Sentosa.. hampir setiap hari.. Masa mengandungkan anak sulung dulu cuma boleh makan rojak asma. Mak ita yang selalu kena tolong belikan kat Cahaya Baru (tapi makcik tu dah tak jual lagi dah). 

Ita memang suka makan bubur nasi tapi nak masak 'side dish' tu yang lama.. tapi nasib baik juga sambal tu boleh masak banyak2, jadi boleh guna untuk 2-3 menu.. Bukannya apa, kalau dah berkeluarga ni kena 'think smart', buat kerja semua kena pantas. Nak mengejarkan masa dengan anak2..

Kalau nak diikutkan ada pelbagai lauk untuk makan dengan bubur ni... tapi ita lebih suka makan macam ni.. Ikut selera tukang masaklah katakan..huhu.. Oklah, kalau ada yang nak cuba, silakan..



Sambal Tumis untuk Bubur + Nasi Lemak

.::Dikisar::.
1/2 periuk Lada Kering (dibuang biji dan direbus dahulu)
3 biji Bawang Besar
11 biji Bawang Putih
1 cm Lengkuas
1 tsp Kunyit serbuk
1 cawan Ikan Bilis

1 jari Halia (diketuk)
6 sb Gula
3 sk Garam
Serbuk Perasa (opt)

- Ambil lada kering yang dah direbus dan tos airnya, baru kisar dengan bahan2 lain.
- Panaskan minyak dengan api sederhana, kemudian tumis bahan2 yang dah dikisar tadi + halia sehingga terbit minyak. Kena kacau dari semasa ke semasa supaya tak hangus kat bahagian bawah.
- Masukkan gula, garam dan serbuk perasa (ita tak letak). Boleh juga nak masukkan belacan masa blender tu.. tapi stok belacan dah habis.. dan ita pun jarang letak.
- Kacau rata dan rasa. Ubahsuai mengikut selera masing2.



Sawi Goreng
4 pokok Sawi (kalau besar, kurangkan)

.::Ditumbuk::.
1/2 cawan Ikan Bilis
1 biji Bawang Besar (medium)
3 ulas Bawang Putih

1/4 sk Gula
Garam secukupnya

- Tumis bahan2 yang dah ditumbuk sehingga wangi. Masukkan garam dan sedikit gula.
- Masukkan sayur sawi yang dah dipotong dan gaul rata. Rasa dan ubahsuai mengikut selera masing2.

 

Kentang Goreng

4 biji Kentang (dibelah 2 & dihiris setebal 1/2 cm)
1 biji Bawang besar (dibelah 2 dan dihiris nipis)
1/2 cawan Ikan Bilis (dibasuh terlebih dahulu)

- Goreng kentang dahulu sehingga masak. Ketepikan.
- Kemudian goreng ikan bilis. Ketepikan.
- Goreng bawang besar. Ketepikan.
- Gabungkan kesemua bahan di dalam 1 mangkuk dan gaul rata. Hidang.